PRESS RELEASES
22 Aug 2025,
IPOH, 22 Ogos 2025 – Dalam langkah penting bagi transformasi ekonomi negeri Perak, peneraju kenderaan elektrik global, BYD Company Limited (BYD) akan menubuhkan kilang pemasangan automotif pertamanya di Malaysia di KLK TechPark, Tanjong Malim, Perak. Pembangunan ini mengukuhkan visi negeri untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai hab automotif terkemuka di Malaysia, selari dengan usaha berterusan bagi menarik peluang pelaburan berdaya saing ke negeri Perak.
Dengan memanfaatkan Projek Pembinaan Pantas Muallim Speed-Lane (M-SL) yang diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai inisiatif untuk menjadikan daerah Muallim satu pemain penting dalam sektor automotif antarabangsa, pelaburan BYD ini berjaya dimeterai dalam tempoh hanya tiga bulan. Diterajui oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan YB Loh Sze Yee, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Kerajaan Negeri telah memudah cara perbincangan, mempercepatkan proses, serta menyelaras pihak berkepentingan dengan berkesan.
Kehadiran BYD di Perak dijangka menjadi pemangkin kepada sektor kenderaan elektrik (EV) negara. Kilang pemasangan baharu itu bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan, malah menyokong pemindahan teknologi, meningkatkan kepakaran dalam pembuatan EV serta menggalakkan pertumbuhan industri sokongan. Kesan limpahan ini akan membolehkan syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan EV global, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap automotif serantau.
Dalam menyokong visi ini, KLK TechPark, hab perindustrian bersepadu seluas 1,500 ekar yang dibangunkan oleh KLK LAND menyediakan infrastruktur dan ekosistem yang diperlukan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi seperti BYD dan mempercepatkan pengembangan pangkalan pembuatan di Perak. KLK TechPark diilhamkan sebagai hab untuk pembuatan termaju dan teknologi hijau.
Sebagai pelabur utama bagi fasa pertama pembangunan taman teknologi ini, BYD akan membangunkan kawasan seluas 150 ekar, manakala fasa-fasa seterusnya disasarkan untuk menarik pelbagai pembekal dan perniagaan yang boleh menyumbang kepada ekosistem automotif yang lengkap dan berdaya saing.
Tan Sri Dato’ Seri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad berkata, “KLK TechPark merupakan pembangunan jangka panjang yang direalisasikan melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Perak. Kami amat berterima kasih atas sokongan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan YB Loh Sze Yee, yang memainkan peranan penting dalam membawa semua pihak bersama. Akar umbi KLK adalah di Perak, tempat kami mula bertapak dan kami kekal komited untuk mencipta impak yang positif secara mampan untuk generasi akan datang. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha ke arah perindustrian bernilai tinggi dan menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi negeri.”
Seiring dengan komitmen Perak untuk terus maju, pembangunan ini mencerminkan strategi negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040, yang mengiktiraf pertumbuhan sektor perindustrian dan pembuatan sebagai salah satu keutamaan dalam memacu pembangunan sosioekonomi.