PRESS RELEASES
12 Sep 2025,
IPOH, 12 September 2025 – KLK LAND, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), hari ini melancarkan KLK TechPark, sebuah hab perindustrian bersepadu seluas 1,500 ekar di Tanjong Malim. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bersama YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak serta YABhg Tan Sri Dato’ Seri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif KLK.
Dengan kedudukan strategik berdekatan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), KLK TechPark yang merangkumi 1,300 ekar tanah untuk pembangunan industri dan 200 ekar tanah bagi kawasan kediaman, akan dibangunkan secara berfasa dari tahun 2025 hingga 2035. Terletak hanya beberapa minit dari pekan Tanjong Malim dan tol Behrang dengan akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan, KLK TechPark akan menawarkan penyelesaian bina-ikut-keperluan, lot-lot perindustrian serta kilang siap bina yang disokong oleh infrastruktur asas serta kesalinghubungan yang menyeluruh.
Pembangunan ini dijangka akan menjana nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. Fasa pertama menyaksikan BYD sebagai pelabur utama dengan fasiliti seluas 150 ekar, dengan kerja-kerja infrastruktur utama disasarkan siap pada akhir 2026. Manakala Fasa 2 yang bakal dilancarkan menjelang akhir 2025 akan menampilkan taman vendor seluas 200 ekar khusus untuk pemain sektor automotif dan pembuatan.
KLK TechPark dijangka akan memacu pertumbuhan KDNK negeri secara signifikan, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk komuniti setempat serta membangunkan ekosistem rantaian bekalan bersepadu. Ekosistem ini bukan sahaja akan menyokong sektor automotif malah turut menjana limpahan manfaat kepada industri sokongan seperti logistik, perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan berteknologi tinggi.
“Bagi negeri Perak, KLK TechPark menyokong aspirasi AHTV untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai hab global untuk sektor automotif dan teknologi maju, berteraskan kenderaan tenaga baharu dengan disokong oleh ekosistem yang menyeluruh meliputi pembuatan, R&D, rantaian bekalan dan pembangunan bakat. Sebagai projek perindustrian berstatus nasional, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai tinggi, merancakkan pertumbuhan serta mengukuhkan peranan negeri dalam pembangunan ekonomi Malaysia. KLK TechPark bersama pelaburan BYD merupakan langkah awal ke arah merealisasikan visi ini serta mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap potensi Tanjong Malim,” kata YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad pada majlis pelancaran.
Kerajaan Negeri Perak telah memainkan peranan penting dalam menyatukan pelbagai pihak bagi merealisasikan visi ini, manakala KLK TechPark mencerminkan komitmen jangka panjang KLK LAND dalam menyokong rancangan perindustrian negeri.
YABhg Tan Sri Dato’ Seri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad berkata, “KLK TechPark diilhamkan sebagai sebuah platform untuk menyokong aspirasi ekonomi dan perindustrian negeri Perak. Dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan peranan BYD sebagai pelabur utama, kami yakin ia akan membantu mewujudkan peluang untuk perniagaan dan komuniti, di samping membina ekosistem yang mampan serta berdaya saing dalam jangka panjang.”